Policy:Tatakelakuan Sejagat/Panduan penguatkuasaan

From Wikimedia Foundation Governance Wiki
This page is a translated version of the page Policy:Universal Code of Conduct/Enforcement guidelines and the translation is 99% complete.
Outdated translations are marked like this.
Tatakelakuan Sejagat Yayasan Wikimedia

1. Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC

Garis Panduan Penguatkuasaan ini menerangkan macam mana komuniti dan Yayasan Wikimedia boleh mencapai matlamat Tatakelakuan Sejagat (UCoC). Ini termasuk, antara topik lain: menggalakkan pemahaman tentang UCoC, terlibat dalam kerja proaktif untuk mencegah pelanggaran, membangunkan prinsip untuk kerja responsif terhadap pelanggaran UCoC dan menyokong struktur penguatkuasaan tempatan.

UCoC terpakai untuk semua ruang Wikimedia dalam talian dan luar talian. Oleh itu, penguatkuasaan UCoC adalah tanggungjawab bersama. Selaras dengan prinsip pergerakan desentralisasi, UCoC harus dikuatkuasa pada peringkat paling tempatan yang relevan dan mungkin.

Garis Panduan Penguatkuasaan menyediakan kerangka untuk interaksi struktur penguatkuasaan semasa dan masa hadapan, berusaha untuk mewujudkan asas bagi pelaksanaan UCoC yang saksama dan konsisten.

1.1 Terjemahan Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC

Versi asal Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC adalah dalam Bahasa Inggeris. Ia akan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa yang digunakan pada projek-projek Wikimedia. Yayasan Wikimedia akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan terjemahan yang tepat. Jika timbul apa-apa perbezaan dalam makna antara versi Bahasa Inggeris dan terjemahan, keputusan akan berdasarkan versi Bahasa Inggeris.

1.2 Semakan Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC dan UCoC

Berdasarkan saranan Lembaga Pemegang Amanah, satu tahun selepas pengesahan Garis Panduan Penguatkuasaan, Yayasan Wikimedia akan menjadi tuan rumah perundingan komuniti dan semakan Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC dan UCoC.

2. Kerja pencegahan

Bahagian ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan untuk komuniti Wikimedia dan individu bersekutu (atau gabungan) untuk mengetahui tentang kewujudan UCoC, bagi memahami dan mematuhi ia sepenuhnya. Untuk tujuan itu, bahagian ini akan memperincikan cadangan untuk meningkatkan kesedaran tentang UCoC, mengendalikan terjemahan UCoC dan menggalakkan pematuhan secara sukarela kepada UCoC di mana wajar atau perlu.

2.1 Pemberitahuan dan pengesahan UCoC

UCoC terpakai kepada semua orang yang berinteraksi dan menyumbang kepada projek Wikimedia. Ia juga terpakai pada acara peribadi rasmi dan ruang berkaitan yang dihoskan pada platform pihak ketiga sebagai garis dasar tingkah laku untuk kerjasama dalam projek Wikimedia di seluruh dunia.

Kami mengesyorkan agar UCoC ditambahkan pada Terma Penggunaan Wikimedia.

Selain itu, individu berikut perlu mengesahkan pematuhan mereka kepada UCoC:

  • Semua kakitangan dan kontraktor Yayasan Wikimedia, ahli Lembaga Pemegang Amanah, ahli lembaga sekutu dan kakitangan Wikimedia;
  • Mana-mana wakil pertubuhan gabungan Wikimedia atau ahli pertubuhan yang berhasrat menjadi gabungan Wikimedia (seperti, tetapi tidak terhad kepada: individu, atau kumpulan individu yang ingin mempromosikan dan/atau bekerjasama dengan acara, kumpulan, kajian yang ditaja Wikimedia, sama ada di dalam atau di luar wiki dalam suasana penyelidikan); dan
  • Mana-mana individu yang ingin menggunakan tanda dagangan Yayasan Wikimedia dalam acara seperti, tetapi tidak terhad kepada: acara berjenama dengan tanda dagangan Wikimedia (seperti dengan memasukkannya dalam tajuk acara) dan perwakilan organisasi, komuniti, atau projek Wikimedia di sebuah acara (seperti, tetapi tidak terhad kepada, penyampai atau pengendali reruai).

2.1.1 Menggalakkan kesedaran UCoC

Untuk meningkatkan kesedaran, pautan ke UCoC akan boleh diakses pada atau di:

  • Halaman pendaftaran pengguna dan acara;
  • Pengaki pada projek Wikimedia dan menyunting halaman pengesahan untuk pengguna log keluar (jika sesuai dan jika mungkin secara teknikal);
  • Pengaki di tapak web ahli gabungan dan kumpulan pengguna yang diiktiraf;
  • Dimaklumkan dengan jelas pada acara bersemuka, jauh dan hibrid; dan
  • Di mana-mana tempat lain yang dianggap sesuai oleh projek tempatan, ahli gabungan, kumpulan pengguna dan penganjur acara

2.2 Cadangan untuk latihan UCoC

Jawatankuasa Pembangun U4C, dengan sokongan daripada Yayasan Wikimedia, akan membangunkan dan melaksanakan latihan untuk memberikan pemahaman bersama tentang UCoC dan kemahiran untuk pelaksanaannya. Adalah disyorkan agar pihak berkepentingan yang berkaitan dirujuk dalam pembangunan latihan, termasuk, tetapi tidak terhad kepada: Ahli Gabungan, Jawatankuasa Gabungan, Jawatankuasa Timbang Tara, Pengelola dan Pemegang Hak Lanjutan yang lain, T&S dan undang-undang , dan lain-lain yang dianggap bermanfaat untuk memberikan gambaran lengkap tentang UCoC.

Latihan ini dimaksudkan untuk mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada proses penguatkuasaan UCoC, atau mereka yang ingin dimaklumkan tentang UCoC.

Latihan akan disediakan dalam modul bebas yang meliputi maklumat am, pengenalpastian pelanggaran dan sokongan, serta kes dan rayuan yang kompleks. Selepas U4C pertama dimasukkan, ia akan bertanggungjawab untuk menyelenggara dan mengemas kini modul latihan mengikut keperluan.

Modul latihan akan tersedia dalam format yang berbeza dan pada platform yang berbeza supaya mudah diakses. Komuniti tempatan dan Ahli Gabungan Wikimedia yang ingin menyediakan latihan di peringkat komuniti mereka akan mendapat sokongan kewangan daripada Yayasan Wikimedia untuk melaksanakan latihan. Ini termasuk sokongan untuk terjemahan.

Kami mengesyorkan untuk peserta yang telah melengkapkan modul perlu mempunyai pilihan untuk dimaklumkan tentang penyempurnaan modul mereka secara terbuka.

Set latihan berikut adalah yang dicadangkan:

Modul A - Orientasi (UCoC - Am)

  • Bantuan untuk memastikan pemahaman bersama tentang UCoC dan pelaksanaannya
  • Penjelasan ringkas berkenaan apa yang dimaksudkan dengan UCoC dan penguatkuasaannya yang dijangkakan, serta alat yang tersedia untuk membantu melaporkan pelanggaran

Modul B - Pengenalpastian dan Pelaporan (UCoC - Pelanggaran)

  • Memberi keupayaan untuk mengenal pasti pelanggaran UCoC, memahami proses pelaporan dan mempelajari cara menggunakan alatan pelaporan
  • Perincian jenis pelanggaran, cara mengenal pasti kejadian yang boleh dilaporkan dalam konteks setempat mereka, cara dan tempat membuat laporan, dan pengendalian kes yang optimum dalam proses UCoC
  • Latihan juga akan menumpukan pada bahagian tertentu UCoC, seperti gangguan dan penyalahgunaan kuasa (seperti yang diperlukan)

Modul C - Kes kompleks, Rayuan (UCoC - Pelbagai Pelanggaran, Rayuan)

  • Modul ini adalah prasyarat untuk menyertai U4C, dan disyorkan untuk bakal pemohon U4C dan pemegang hak lanjutan
  • Modul ini harus merangkumi dua topik khusus:
    • C1- Mengendalikan kes kompleks (UCoC - Pelbagai Pelanggaran): Meliputi kes silang wiki, gangguan jangka panjang, mengenal pasti kredibiliti ancaman, komunikasi yang berkesan dan sensitif serta melindungi keselamatan mangsa dan orang lain yang terdedah
    • C2 - Mengendalikan rayuan, menutup kes (UCoC - Rayuan): Meliputi pengendalian rayuan UCoC
  • Modul ini akan menjadi latihan yang diterajui dan disesuaikan oleh pengajar, diberikan kepada ahli dan pemohon U4C, dan petugas yang dipilih komuniti yang telah menandatangani Dasar Akses kepada Data Peribadi Bukan Awam
  • Apabila sesuai, bahan untuk latihan yang diterajui pengajar ini, seperti modul individu, slaid, soalan, dsb., akan tersedia secara umum

3. Kerja responsif

Bahagian ini bertujuan untuk menyediakan garis panduan dan prinsip untuk memproses laporan pelanggaran UCoC serta cadangan untuk struktur penguatkuasaan tempatan yang berurusan dengan pelanggaran UCoC. Untuk itu, bahagian ini akan memperincikan prinsip penting untuk memproses laporan, perakuan untuk penciptaan alat pelaporan, cadangan penguatkuasaan untuk tahap pelanggaran yang berbeza dan perakuan untuk struktur penguatkuasaan tempatan.

3.1 Prinsip untuk memfailkan dan memproses pelanggaran UCoC

Prinsip berikut adalah piawaian untuk sistem pelaporan merentas Gerakan.

Laporan:

  • Pelaporan pelanggaran UCoC sepatutnya boleh dilakukan oleh mangsa pelanggaran itu serta oleh pihak ketiga yang tidak terlibat yang memerhatikan insiden tersebut
  • Laporan haruslah meliputi perkara pelanggaran UCoC, sama ada ia berlaku dalam talian, luar talian, dalam ruang yang dihoskan oleh pihak ketiga atau gabungan ruang
  • Laporan mestilah boleh dibuat secara terbuka atau dengan tahap privasi yang berbeza-beza
  • Kredibiliti dan kebolehpercayaan tuduhan akan disiasat dengan teliti untuk menilai risiko dan kesahihan dengan betul
  • Pengguna yang terus menghantar laporan dengan niat jahat atau tidak wajar berisiko menghadapi kehilangan keistimewaan pelaporan
  • Individu yang dituduh harus mempunyai akses kepada butiran pelanggaran yang dikatakan dibuat terhadap mereka melainkan akses tersebut akan berisiko bahaya atau mungkin membahayakan pelapor atau keselamatan orang lain
  • Sumber untuk terjemahan mestilah disediakan oleh Yayasan Wikimedia apabila laporan disediakan dalam bahasa yang tidak ditutur oleh individu yang berkenaan

Pemprosesan pelanggaran:

  • Keputusan sesuatu kes hendaklah berkadar dengan tahap keterukan pelanggaran
  • Kes harus dinilai dengan cara termaklum, yang menggunakan konteks, seimbang dengan prinsip UCoC
  • Kes harus diselesaikan dalam tempoh masa yang konsisten, dengan kemas kini tepat pada masanya diberikan kepada peserta jika ia berpanjangan

Ketelusan:

  • Sekiranya mungkin, kumpulan yang memproses pelanggaran UCoC akan menyediakan arkib awam bagi kes berkaitan, sambil mengekalkan privasi dan keselamatan dalam kes bukan awam
  • Yayasan Wikimedia akan menerbitkan statistik asas tentang penggunaan alat pelaporan pusat yang dicadangkan dalam bahagian 3.2, sambil menghormati prinsip pengumpulan data yang minimum dan privasi.
    • Kumpulan lain yang memproses pelanggaran UCoC digalakkan untuk menyediakan statistik asas tentang pelanggaran dan pelaporan UCoC sebagaimana yang mereka mampu, sambil menghormati prinsip pengumpulan data yang minimum dan privasi.

3.1.1 Menyediakan sumber untuk memproses kes

Penguatkuasaan UCoC oleh struktur tadbir urus tempatan akan disokong dalam pelbagai cara. Komuniti akan dapat memilih daripada mekanisme atau pendekatan yang berbeza berdasarkan beberapa faktor seperti: kapasiti struktur penguatkuasaan mereka, pendekatan kepada tadbir urus dan keutamaan komuniti. Beberapa pendekatan ini boleh termasuk:

  • Jawatankuasa Timbang Tara (ArbCom) untuk projek Wikimedia tertentu
  • ArbCom dikongsi di antara pelbagai projek-projek Wikimedia
  • Pemegang hak tambahan yang menguatkuasakan dasar tempatan selaras dengan UCoC secara terpencar
  • Panel penyelia tempatan yang menguatkuasakan dasar
  • Penyumbang tempatan menguatkuasakan dasar tempatan melalui perbincangan dan persetujuan komuniti

Komuniti harus terus mengendalikan penguatkuasaan melalui cara sedia ada asalkan ia tidak bercanggah dengan UCoC.

3.1.2 Penguatkuasaan mengikut jenis pelanggaran

Bahagian ini memperincikan senarai tidak lengkap jenis pelanggaran yang berbeza, bersama-sama dengan mekanisme penguatkuasaan yang berpotensi berkaitan dengannya.

  • Pelanggaran yang melibatkan ancaman apa-apa jenis keganasan fizikal
    • Dikendalikan oleh pasukan Wikimedia Amanah & Keselamatan (atau Trust & Safety Wikimedia)
  • Pelanggaran yang melibatkan litigasi atau ancaman undang-undang
    • Kes hendaklah dihantar kepada pasukan Undang-undang Yayasan Wikimedia, atau, apabila sesuai, profesional lain yang boleh menilai dengan sewajarnya merit ancaman itu
  • Pelanggaran yang melibatkan pendedahan tanpa persetujuan maklumat kebolehpastian peribadi
    • Secara amnya, dikendalikan oleh pengguna dengan kebenaran pengawas (atau oversight) atau suntingan tindasan
    • Adakalanya dikendalikan oleh Trust & Safety
    • Jika pelanggaran jenis ini menimbulkan kewajipan undang-undang, kes itu akan dihantar dengan cepat kepada pasukan Undang-undang Yayasan Wikimedia atau, jika wajar, profesional lain yang boleh menilai merit kes itu sewajarnya jika pelanggaran seperti ini menimbulkan kewajipan undang-undang
  • Pelanggaran yang berkaitan dengan tadbir urus pertubuhan gabungan
    • Dikendalikan oleh Jawatankuasa Gabungan atau badan yang setaraf
  • Pelanggaran dalam ruang teknikal
    • Dikendalikan oleh Jawatankuasa Tatakelakuan Teknikal
  • Kegagalan sistemik untuk mengikuti UCoC
    • Dikendalikan oleh U4C
    • Beberapa contoh kegagalan sistemik termasuk:
      • Kekurangan kapasiti tempatan untuk menguatkuasakan UCoC
      • Keputusan tempatan yang konsisten tetapi bercanggah dengan UCoC
      • Keengganan untuk menguatkuasakan UCoC
      • Kekurangan sumber atau kekurangan kemahuan untuk menangani isu
  • Pelanggaran UCoC di wiki (On-wiki)
    • Pelanggaran UCoC yang berlaku merentas beberapa wiki: Dikendalikan oleh penyelia global dan pengelola global dan badan yang mengendalikan pelanggaran UCoC wiki tunggal atau dikendalikan oleh U4C selagi mereka tidak bercanggah dengan garis panduan ini;
    • Pelanggaran UCoC yang berlaku pada satu wiki: Dikendalikan oleh struktur penguatkuasaan sedia ada mengikut garis panduan mereka yang sedia ada selagi mereka tidak bercanggah dengan garis panduan ini
      • Pelanggaran mudah UCoC seperti vandalisme harus dikendalikan oleh struktur penguatkuasaan sedia ada melalui cara sedia ada, asalkan ia tidak bercanggah dengan garis panduan ini
  • Pelanggaran luar wiki
    • Dikendalikan oleh U4C apabila tiada struktur tadbir urus tempatan (cth. ArbCom) wujud, atau jika kes itu dirujuk kepada mereka oleh struktur penguatkuasaan yang sebaliknya akan bertanggungjawab
    • Dalam sesetengah kes, mungkin berguna untuk melaporkan pelanggaran luar wiki kepada struktur penguatkuasaan ruang luar wiki yang berkaitan. Ini tidak menghalang mekanisme penguatkuasaan tempatan dan global sedia ada daripada bertindak ke atas laporan tersebut
  • Pelanggaran pada acara dan ruang bersemuka
    • Struktur penguatkuasaan sedia ada selalunya menyediakan peraturan tingkah laku dan penguatkuasaan dalam ruang luar wiki. Ini termasuk dasar ruang mesra dan peraturan persidangan
    • Struktur penguatkuasaan yang mengendalikan kes ini boleh dirujuk kepada U4C
    • Dalam contoh acara yang dihoskan oleh Yayasan Wikimedia, Trust & Safety menyediakan penguatkuasaan dasar acara

3.2 Cadangan untuk alat pelaporan

Alat pelaporan dan pemprosesan berpusat untuk pelanggaran UCoC akan dibangunkan dan diselenggara oleh Yayasan Wikimedia. Anda boleh membuat laporan melalui MediaWiki dengan alat ini. Tujuannya adalah untuk mengurangkan halangan teknikal untuk melaporkan dan memproses pelanggaran UCoC.

Laporan hendaklah mengandungi maklumat yang boleh diambil tindakan yang berkaitan atau menyediakan rekod dokumentasi kes yang sedang dijalankan. Antara muka pelaporan harus membenarkan pelapor memberikan butiran kepada sesiapa yang bertanggungjawab untuk memproses kes tertentu itu. Ini termasuk maklumat seperti, tetapi tidak terhad kepada:

  • Bagaimana tingkah laku yang dilaporkan melanggar UCoC
  • Siapa atau apa yang telah mengalami kerugian akibat pelanggaran UCoC ini
  • Tarikh dan masa insiden itu berlaku
  • Lokasi insiden
  • Maklumat lain untuk membolehkan kumpulan penguatkuasa menangani perkara itu dengan sebaiknya

Alat ini harus beroperasi di bawah prinsip penggunaan mudah, privasi dan keselamatan, fleksibiliti dalam pemprosesan dan ketelusan.

Individu yang didakwa menguatkuasakan UCoC tidak perlu menggunakan alat ini. Mereka boleh terus bekerja dengan apa sahaja alat yang mereka rasa sesuai, selagi kes dikendalikan mengikut prinsip yang sama iaitu penggunaan mudah, privasi dan keselamatan, fleksibiliti dalam pemprosesan dan ketelusan.

3.3 Prinsip dan cadangan untuk struktur penguatkuasaan

Jika boleh, kami menggalakkan struktur penguatkuasaan sedia ada untuk memikul tanggungjawab menerima laporan dan menangani pelanggaran UCoC, mengikut garis panduan yang dinyatakan di sini. Untuk memastikan penguatkuasaan UCoC kekal konsisten di seluruh pergerakan, kami mengesyorkan agar prinsip asas berikut harus digunakan semasa mengendalikan pelanggaran UCoC.

3.3.1 Keadilan dalam proses

Kami menggalakkan struktur penguatkuasaan dalam membangun dan mengekalkan dasar konflik kepentingan yang menyokong. Ini sepatutnya membantu penyelia atau orang lain menentukan masa untuk bersikap berkecuali atau tidak melibatkan diri dalam pelaporan apabila mereka terlibat rapat dalam isu tersebut.

Semua pihak biasanya akan berpeluang untuk mengemukakan perspektif mereka tentang isu serta bukti, dan maklum balas daripada orang lain juga boleh dihadirkan sekali untuk membantu memberikan lebih banyak maklumat, perspektif dan konteks. Akan tetapi, ini mungkin terhad untuk melindungi privasi dan keselamatan.

3.3.2 Ketelusan proses

U4C, selaras dengan tujuan dan skopnya seperti yang ditakrifkan dalam 4.1, harus menyediakan dokumentasi tentang keberkesanan tindakan penguatkuasaan UCoC dan kaitannya dengan pelanggaran biasa sepanjang pergerakan. Mereka harus disokong oleh Yayasan Wikimedia dalam menjalankan penyelidikan ini. Matlamat dokumentasi ini adalah untuk membantu struktur penguatkuasaan dalam membangunkan amalan terbaik untuk menguatkuasakan UCoC.

Projek dan pertubuhan bersekutu Wikimedia, jika boleh, harus mengekalkan halaman yang menggariskan dasar dan mekanisme penguatkuasaan selaras dengan teks dasar UCoC. Projek dan pertubuhan bersekutu dengan garis panduan atau dasar sedia ada yang bercanggah dengan teks dasar UCoC harus membincangkan perubahan untuk mematuhi standard komuniti global. Mengemas kini atau mencipta dasar tempatan baharu harus dilakukan dengan cara yang tidak bercanggah dengan UCoC. Projek dan pertubuhan gabungan boleh meminta pendapat nasihat daripada U4C tentang potensi dasar atau garis panduan baharu.

Untuk perbualan khusus Wikimedia yang berlaku pada ruang berkaitan yang dihoskan pada platform pihak ketiga (cth Discord, Telegram, dsb.), Terma Penggunaan Wikimedia mungkin tidak terpakai. Ia dilindungi oleh Terma Penggunaan dan dasar tingkah laku laman web khusus tersebut. Namun begitu, tingkah laku ahli Wikimedia pada ruang berkaitan yang dihoskan pada platform pihak ketiga boleh diterima sebagai bukti dalam laporan pelanggaran UCoC. Kami menggalakkan ahli komuniti Wikimedia yang mengendalikan ruang berkaitan Wikimedia pada platform pihak ketiga untuk memasukkan dasar UCoC ke dalam dasar platform mereka. Yayasan Wikimedia harus berusaha untuk menggalakkan amalan terbaik untuk platform pihak ketiga yang tidak menggalakkan penerusan konflik di wiki (on-wiki) ke ruang mereka.

3.3.3 Rayuan

Tindakan yang diambil oleh pemegang hak tambahan individu hendaklah boleh dirayu kepada struktur penguatkuasaan tempatan atau bersama selain daripada U4C. Jika tiada struktur penguatkuasaan sedemikian wujud, maka rayuan kepada U4C boleh diizinkan. Selain daripada pengaturan ini, komuniti tempatan boleh membenarkan rayuan kepada pemegang hak tambahan individu lain.

Struktur penguatkuasaan mestilah menetapkan piawaian untuk menerima dan mempertimbangkan rayuan berdasarkan maklumat kontekstual yang berkaitan dan faktor mitigasi. Faktor-faktor ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada: kebolehdisahkan tuduhan, tempoh dan kesan sekatan dan sama ada terdapat syak wasangka penyalahgunaan kuasa atau isu sistemik lain, dan kemungkinan pelanggaran selanjutnya. Penerimaan rayuan tidak dijamin.

Rayuan tidak boleh dibuat terhadap keputusan tertentu yang dibuat oleh jabatan Undang-undang Yayasan Wikimedia. Walau bagaimanapun, beberapa tindakan dan keputusan pejabat Yayasan Wikimedia boleh disemak oleh Jawatankuasa Semakan Kes. Pengehadan, khususnya pada rayuan daripada tindakan dan keputusan pejabat, mungkin tidak terpakai dalam sesetengah bidang kuasa, jika keperluan undang-undang berbeza.

Struktur penguatkuasaan harus mencari perspektif termaklum mengenai kes bagi mewujudkan asas untuk menerima atau menolak rayuan. Maklumat harus dikendalikan secara sensitif, dengan melindungi privasi orang yang terlibat dan proses membuat keputusan.

Untuk mencapai matlamat ini, kami mengesyorkan agar struktur penguatkuasaan harus mempertimbangkan faktor yang berbeza semasa menyemak rayuan. Ini mungkin termasuk, tetapi tidak terhad kepada:

  • Keterukan dan kerugian yang disebabkan oleh pelanggaran
  • Sejarah pelanggaran terdahulu
  • Keterukan sekatan yang dirayu
  • Tempoh masa sejak pelanggaran itu
  • Analisis pelanggaran dalam hubungan
  • Kecurigaan kemungkinan penyalahgunaan kuasa atau isu sistemik lain

4. Jawatankuasa Penyelarasan UCoC (U4C)

Sebuah jawatankuasa global baharu yang dipanggil Jawatankuasa Penyelarasan Tatakelakuan Sejagat (U4C) akan dibentuk. Jawatankuasa ini akan menjadi badan setara dengan badan pembuat keputusan peringkat tinggi yang lain (cth ArbCom dan AffCom). Tujuannya adalah untuk bertindak sebagai penyelesaian terakhir dalam kes kegagalan sistemik oleh kumpulan tempatan untuk menguatkuasakan UCoC. Keahlian U4C harus mencerminkan komponen global dan keberagaman komuniti global kita.

4.1 Tujuan dan skop

U4C memantau laporan pelanggaran UCoC dan boleh menjalankan penyiasatan tambahan serta mengambil tindakan jika wajar. U4C akan sentiasa memantau dan menilai keadaan penguatkuasaan UCoC. Ia mungkin mencadangkan perubahan yang sesuai kepada UCoC dan Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC untuk dipertimbangkan oleh Yayasan Wikimedia dan komuniti tetapi mungkin tidak mengubah mana-mana dokumen sendiri. Apabila perlu, U4C akan membantu Yayasan Wikimedia dalam mengendalikan kes.

U4C:

  • Mengendalikan aduan dan rayuan dalam keadaan yang digariskan dalam Garis Panduan Penguatkuasaan
  • Menjalankan apa-apa penyiasatan yang diperlukan untuk menyelesaikan aduan dan rayuan tersebut
  • Menyediakan sumber untuk komuniti mengenai amalan terbaik UCoC seperti bahan latihan mandatori dan sumber lain seperti yang diperlukan
  • Menyediakan tafsiran akhir Garis Panduan Penguatkuasaan UCoC dan UCoC jika perlu, dengan kerjasama ahli komuniti dan struktur penguatkuasaan
  • Memantau dan menilai keberkesanan penguatkuasaan UCoC serta menyediakan cadangan untuk penambahbaikan

U4C tidak akan mengambil kes yang tidak terutamanya melibatkan pelanggaran UCoC atau penguatkuasaannya. U4C boleh mewakilkan kuasa membuat keputusan terakhirnya kecuali dalam keadaan isu sistemik yang teruk. Tanggungjawab U4C dijelaskan dalam konteks struktur penguatkuasaan lain dalam 3.1.2.

4.2 Pemilihan, keahlian dan peranan

Pilihan raya tahunan yang dianjurkan oleh komuniti global akan memilih ahli mengundi. Calon boleh terdiri daripada mana-mana ahli komuniti yang juga mesti:

  • Memenuhi kriteria Yayasan Wikimedia untuk akses kepada data peribadi bukan awam dan disahkan dalam pernyataan pilihan raya mereka bahawa mereka akan mematuhi sepenuhnya kriteria tersebut
  • Pada masa pencalonan, calon tidak disekat dalam mana-mana projek Wikimedia atau larangan dari menyertai sesuatu acara
  • Mematuhi UCoC
  • Memenuhi mana-mana syarat kelayakan lain yang ditentukan semasa proses pilihan raya

Dalam keadaan luar biasa, U4C boleh mengadakan pilihan raya interim, jika terdapat peletakan jawatan atau ketidakaktifan yang mewujudkan keperluan segera untuk ahli tambahan. Pilihan raya adalah dalam format yang serupa dengan pilihan raya tahunan biasa.

Ahli individu U4C tidak perlu meletakkan jawatan daripada jawatan lain (cth. penyelia tempatan, ahli ArbCom, penyelaras keselamatan acara). Walau bagaimanapun mereka tidak perlu turut serta dalam memproses kes yang mereka telah terlibat secara langsung disebabkan jawatan mereka yang lain. Ahli U4C akan menandatangani Dasar Akses kepada Data Peribadi Bukan Awam untuk memberikan mereka akses kepada maklumat bukan awam. Jawatankuasa Pembangunan U4C harus memutuskan terma yang sesuai untuk ahli U4C.

U4C boleh membentuk jawatankuasa kecil atau menetapkan individu untuk tugas atau peranan tertentu mengikut kesesuaian.

Yayasan Wikimedia boleh melantik sehingga dua ahli bukan mengundi ke U4C dan mesti menyediakan kakitangan sokongan seperti yang dikehendaki dan sewajarnya.

4.3 Prosedur

U4C akan memutuskan kekerapan ia akan bersidang dan pada prosedur pengendalian lain. U4C boleh membuat atau mengubah suai prosedur mereka selagi ia berada dalam skop mereka. Pada bila-bila masa yang sesuai, Jawatankuasa hendaklah menjemput maklum balas masyarakat mengenai perubahan yang dimaksudkan sebelum melaksanakannya.

4.4 Dasar dan duluan

U4C tidak mencipta dasar baharu dan tidak boleh meminda atau mengubah UCoC. U4C sebaliknya mengguna dan menguatkuasakan UCoC seperti yang ditakrifkan oleh skopnya.

Memandangkan dasar komuniti, garis panduan dan norma-norma berkembang dari semasa ke semasa, keputusan terdahulu akan diambil kira hanya setakat ia kekal relevan dalam konteks semasa.

4.5 Jawatankuasa Pembangunan U4C

Berikutan pengesahan garis panduan penguatkuasaan UCoC, Yayasan Wikimedia akan memudahkan Jawatankuasa Pembangunan untuk:

  • Menentukan prosedur, dasar dan penggunaan duluan U4C
  • Mendraf baki proses U4C
  • Menetapkan apa-apa logistik lain yang diperlukan untuk menubuhkan U4C
  • Membantu memudahkan prosedur pilihan raya awal untuk U4C

Jawatankuasa Pembangunan harus terdiri daripada ahli komuniti sukarelawan, kakitangan pertubuhan bersekutu atau ahli lembaga dan kakitangan Yayasan Wikimedia.

Ahli akan dipilih oleh Naib Presiden Ketahanan Komuniti dan Kelestarian Yayasan Wikimedia. Ahli-ahli sukarelawan bagi jawatankuasa itu hendaklah menjadi ahli masyarakat yang dihormati.

Ahli hendaklah mencerminkan pelbagai perspektif proses penguatkuasaan pergerakan dengan pengalaman dalam perkara seperti, tetapi tidak terhad kepada: penggubalan dasar, penglibatan dalam dan kesedaran tentang penggunaan peraturan dan dasar sedia ada pada projek Wikimedia, dan membuat keputusan penyertaan. Ahli-ahlinya hendaklah mencerminkan kepelbagaian pergerakan, seperti tetapi tidak terhad kepada: bahasa yang dituturkan, jantina, umur, geografi dan jenis projek.

Kerja Jawatankuasa Pembangunan U4C akan disahkan sama ada oleh Dewan Global atau oleh proses komuniti yang serupa dengan pengesahan dokumen ini. Berikutan penubuhan U4C melalui kerja Jawatankuasa Pembangunan ini, Jawatankuasa Pembangunan harus dibubarkan.

5. Glosari

Penyelia (sysop atau admin)
Lihat definisi ​​pada Meta.
Pemegang hak lanjutan/tambahan
pengguna yang memegang hak pentadbiran melebihi kebenaran penyuntingan biasa, dan biasanya dipilih melalui proses komuniti atau dilantik oleh Jawatankuasa Timbang Tara. Ini termasuk, sebagai senarai tidak lengkap: penyelia/sysop tempatan, petugas, penyelia global, pengelola.
Jawatankuasa Gabungan atau Affcom
Lihat definisi ​​pada Meta.
Jawatankuasa Timbang Tara atau ArbCom
kumpulan pengguna dipercayai yang bertindak sebagai kumpulan membuat keputusan muktamad untuk beberapa pertikaian. Setiap skop ArbCom ditakrifkan oleh komunitinya. ArbCom boleh menyediakan lebih daripada satu projek (cth. Wikinews dan Wikivoyage) dan/atau lebih daripada satu bahasa. Untuk tujuan garis panduan ini, ini termasuk Jawatankuasa Tatakelakuan untuk Ruang Teknikal Wikimedia dan panel pentadbiran. Lihat juga definisi ​​pada Meta.
Kata kerja pengikat
Semasa merangka Garis Panduan Penguatkuasaan, jawatankuasa penggubal menganggap perkataan 'cipta', 'bangunkan', 'kuatkuasakan', 'mesti', 'menghasilkan', 'harus', dan 'akan' sebagai pengikat kata. Bandingkan ini dengan kata kerja cadangan.
Jawatankuasa Semakan Kes
Lihat definisi di Meta.
Komuniti
Merujuk kepada komuniti projek. Keputusan yang dibuat oleh komuniti projek biasanya ditentukan oleh konsensus. Lihat juga: Projek.
Silang wiki
Mempengaruhi atau berlaku pada lebih daripada satu projek. Lihat juga: Global.
Penyelaras keselamatan acara
orang yang ditetapkan oleh penganjur acara sendiri yang berkaitan dengan Wikimedia yang bertanggungjawab untuk keselamatan dan sekuriti acara.
Global
Merujuk kepada semua projek Wikimedia. Dalam pergerakan Wikimedia, "global" ialah istilah jargon yang merujuk kepada badan-badan pentadbir seluruh Pergerakan. Ia biasanya digunakan untuk membezakan dengan "tempatan".
Penyelia global
Lihat definisi ​​pada Meta.

Badan membuat keputusan peringkat tinggi: Kumpulan (iaitu U4C, ArbCom, Affcom) yang tidak boleh membuat rayuan. Isu yang berbeza mungkin mempunyai badan membuat keputusan peringkat tinggi yang berbeza. Istilah ini tidak termasuk sekumpulan pengguna yang mengambil bahagian dalam perbincangan yang dianjurkan di papan kenyataan dan menghasilkan keputusan, walaupun keputusan perbincangan itu tidak boleh dirayu.

Tempatan
Merujuk kepada satu projek Wikimedia, gabungan, atau organisasi. Istilah ini biasanya merujuk kepada badan pentadbir terkecil dan paling terdekat yang boleh digunakan untuk situasi tersebut.
Luar wiki
Secara amnya merujuk kepada ruang dalam talian yang tidak dihoskan oleh Yayasan Wikimedia, walaupun ahli komuniti Wikimedia hadir dan aktif menggunakan ruang tersebut. Contoh ruang luar wiki termasuk Twitter, Whatsapp, IRC, Telegram, Discord dan lain-lain.
Maklumat yang boleh dikenal pasti secara peribadi
ialah sebarang data yang berpotensi mengenal pasti individu tertentu. Sebarang maklumat yang boleh digunakan untuk membezakan seseorang daripada orang lain dan boleh digunakan untuk menyahnamakan data tanpa nama sebelum ini dianggap sebagai PII.
Projek (projek Wikimedia)
Sebuah wiki yang dikendalikan oleh WMF.
Kata kerja cadangan
Semasa merangka Garis Panduan Penguatkuasaan, jawatankuasa penggubal mempertimbangkan perkataan 'menggalakkan', 'boleh', 'cadang', 'menyusun', dan 'sepatutnya' sebagai cadangan. Bandingkan ini dengan kata kerja pengikat.
Ruang berkaitan dihoskan pada platform pihak ketiga
Tapak web, termasuk wiki peribadi, tidak dikendalikan oleh WMF tetapi tempat pengguna membincangkan perkara projek yang berkaitan dengan Wikimedia. Selalunya dikendalikan oleh sukarelawan Wikimedia.
Kakitangan/Staf
Pekerja dan/atau kakitangan yang ditugaskan kepada organisasi pergerakan Wikimedia atau kontraktor organisasi pergerakan sedemikian yang kerjanya memerlukan interaksi dengan ahli komuniti Wikimedia atau dalam ruang pergerakan Wikimedia (termasuk ruang pihak ketiga seperti platform luar wiki khusus untuk aktiviti pergerakan Wikimedia).
Pengelola
Lihat definisi ​​pada Meta.
Isu sistemik atau kegagalan
Isu yang wujudnya corak kegagalan mematuhi Tatakelakuan Sejagat dengan penyertaan beberapa orang, terutamanya mereka yang mempunyai hak tambahan.
Dasar Tindakan Pejabat Yayasan Wikimedia
Dasar ditemui pada Meta atau dasar pengganti yang setara.